Pengenalan MBJ
PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS
Pegawai-Pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan dua Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri dan dipilih oleh Pihak Pekerja. Tiap-tiap pihak dalam Majlis hendaklah melantik seorang daripadanya untuk memenuhi jawatan Setiausaha Bersama.
BIDANG DAN FUNGSI
Bidang dan fungsi majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk di dalam kuasa Majlis yang mana adalah seperti berikut:-
membincangkan dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran berkenaan kecuali semua perkara mengenai pekerja-pekerja perseorangan;
membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan;
menggalakkan kakitangan menerusi pengambilan bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran berbagai-bagai Jabatan; dan
mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi pejabat serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.
MESYUARAT-MESYUARAT
Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 3 bulan sekali.
Korum bagi Mesyuarat Majlis hendaklah terdiri daripada 8 orang ahli Pihak Pegawai dan 24 orang ahli Pihak Pekerja. Pengerusi boleh mewakilkan pegawai terkanan di kalangan ahli-ahli pihak pegawai mempengerusikan Mesyuarat Majlis sekiranya Pengerusi atas sebab-sebab tertentu tidak dapat mempengerusikan Mesyuarat Majlis.
Agenda bagi Mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.
Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi bila dikehendaki. Tarikh Mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh Pegawai-Pegawai Majlis. Perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah tertumpu kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis memanggil mesyuarat tersebut.
KEPUTUSAN
Segala keputusan Majlis hendaklah dicapai secara persetujuan di antara kedua-dua pihak.
Keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan Jabatan-Jabatan lain dan tidak pula bertelingkah dengan dasar Kerajaan bolehlah diselenggarakan atau dilaksanakan terus oleh Bahagian-bahagian di bawah Pentadbiran Am JPM. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun dengan Jabatan-Jabatan lain ia hendaklah dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam ataupun kepada Jabatan-Jabatan yang berkenaan.
PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN
Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana satu Mesyuarat Majlis. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk diluluskan.